Showing posts with label Dunia Teknologi. Show all posts
Showing posts with label Dunia Teknologi. Show all posts

Teknologi Terbaru Untuk Rawatan Jantung Di Malaysia






MODEN...teknologi terkini untuk merawat sakit jantung.


TEKNOLOGI dikatakan datang dan pergi. Pergi setelah datangnya teknologi yang baru. Perkara baru selalunya lebih bagus, mudah dan murah membuatkan ia menjadi pilihan.

Begitu juga dalam dunia perubatan. Dalam mendapatkan rawatan, kita tidak boleh menolak teknologi yang dicipta demi kebaikan kita. Dunia sains dan teknologi sekarang membuatkan setiap negara mahu ke hadapan dalam apa bidang sekali pun.
sebelum   selepas






ANTARA TEKNOLOGI...keadaan coronary stent sebelum dan selepas bukaan di dalam injap darah.








 TANPA BEDAH...alat ini memungkinkan prosedur rawatan jantung tanpa pembedahan.

Perubatan penyakit jantung mengalami pelbagai perubahan positif sejajar perkembangan teknologi dan masa.

Permasalahan jantung sering dikaitkan dengan Institut Jantung Negara (IJN).

Tahun ini, IJN meniup 20 lilin di atas keknya. Ya, IJN sudah berumur 20 tahun!
Begitu cepat masa berlalu.


Begitu banyak teknologi baru yang diterokai Institut Jantung Negara sepanjang 20 tahun bertapak di dunia perubatan negara.

Siapa lagi yang paling sesuai bercerita mengenai perkembangan IJN selain daripada Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Dr Robaayah Zambahari.

Dr Robaayah memang tidak asing lagi dalam bidang perawatan jantung. Perancangan bertemu anak kelahiran Batu Gajah, Perak ini sudah dimulakan sejak Ramadan lagi tetapi baru kini impian itu tercapai. Kesibukan menjadi penyebab dan akhirnya petang itu kami dapat bersua muka.

Dr Robaayah sendiri mengakui, teknologi yang berkembang pesat kini memang tidak dibayangkan lebih 20 tahun lalu. Kuasa Allah yang memberi pengetahuan kepada manusia.

“Saya bersama IJN sejak pada awal penubuhannya lagi. Bermula di Bahagian Kardiologi, Hospital Kuala Lumpur pada 1977. Penubuhan IJN tidak dapat tidak memang berkait rapat dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ketika itu kebanyakan orang penting negara suka mendapat rawatan di luar negara tetapi berbeza dengan Tun Mahathir.

“Pada 1989, Tun Mahathir mendapat serangan jantung dan dia menegaskan mahu dirawat di Malaysia. Dari situ, bermula segala-galanya. Pada Julai 1992, IJN mula beroperasi dan September tahun yang sama, ia dikorporatkan di bawah Kementerian Kewangan, menjadikan ia satu-satunya hospital di bawah kementerian itu,” katanya.

Pada 12 Jun 1993, IJN dibuka secara rasmi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan sejak tarikh itu, ia terus berkembang sebagai pusat rawatan jantung utama di negara ini.

Langkah IJN sentiasa ke hadapan dengan meneroka pelbagai teknologi baru.
Kepercayaan rakyat seluruh negara kepada IJN semakin meluas.

“Pada 2005, kerana kepadatan jumlah pesakit, keadaan ini membuatkan kami perlu membina bangunan tambahan baru bagi menampung jumlah yang semakin hari semakin meningkat. Bangunan itu siap sepenuhnya pada 2009.

“Dengan adanya bangunan baru, masalah kepadatan pesakit apat diatasi. Begitu juga bagi kes menunggu dan tambahan bilik pembedahan. Kini, dengan tujuh bilik bedah, setiap hari kami boleh melakukan kira-kira 15 pembedahan,” katanya.

Dengan keluasan yang bertambah bermakna tenaga kerjanya harus sekata.

“Staf juga sudah bertambah. Terkini, kami mempunyai 1,702 staf. Doktornya berjumlah 84 orang dan jururawat 926 orang. Ini cukup menampung keperluan kami yang mempunyai 470 katil dengan 430 katil sudah dilesenkan,” katanya.

Dr Robaayah menegaskan, IJN sentiasa mengamalkan prinsip mendahulukan kes kecemasan. Apa yang menyerlah, mereka membawa semua teknologi terkini dan terbaru kepada rakyat Malaysia.

“Kami memberikan perkhidmatan dan teknologi terkini kepada rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan, bangsa dan latar belakang. Semuanya boleh mendapat rawatan paling terkini termasuk golongan kurang mampu.

“Kepada mereka yang tidak mampu, ada dua cara untuk mereka mendapatkan rawatan.
Satu, membawa surat rujukan daripada hospital kerajaan dan unit taksiran akan membuat penilaian untuk bentuk bantuan. Dua, unit taksiran akan rujuk pula kepada pihak Yayasan IJN untuk langkah dan bantuan selanjutnya,” katanya.

Apa yang pasti, semua layak mendapat bantuan walaupun mereka bukan kakitangan kerajaan, tegas Dr Robaayah yang menerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada 2011.

“Setahun kami mengadakan 10,000 prosedur dan 2,600 untuk mereka yang mempunyai saluran darah tersumbat yang menyebabkan serangan sakit jantung.

“Secara keseluruhan, sehingga Jun 2012, kami sudah merawat lebih daripada dua juta pesakit luar dan kira-kira 209,000 pesakit dalaman (inpatients),” katanya.

Bersama kedewasaan IJN selama 20 tahun ini, pelbagai kejayaan sudah dicapai antaranya IJN adalah antara yang pertama di Malaysia menjalankan prosedur rawatan saluran darah di buah pinggang, menggunakan alat perentak jantung kepada pesakitnya dan menjadi perintis yang memperkenalkan rawatan menutup jantung berlubang yang kecil dan sederhana tanpa pembedahan.

“Kami juga yang pertama membuat jantung mekanikal. Pada 2007 kami melakukan prosedur transplan untuk jantung dan paru-paru. Pada 2009 pula, kami yang pertama melakukan pembedahan saluran darah rosak atau sempit tanpa pembedahan.
Ini prosedur baru dan kami lakukan pada mereka yang berisiko tinggi untuk pembedahan,” katanya.

Dengan segala wibawa yang ada pada IJN, tidak menghairankan ia menjadi kepercayaan golongan doktor dari negara lain bagi mendapatkan latihan.

“Kami sudah melatih 127 doktor antarabangsa sama ada untuk latihan pembedahan ataupun tanpa pembedahan,” katanya.


Teknologi alat perubatan jantung tanpa pembedahan - stent

Stent koronari berharga RM5,300 berupa alat seperti dawai halus yang dimasukkan sama ada menerusi saluran pangkal paha atau saluran darah di lengan. Alat ini dimasukkan ke dalam pembuluh darah yang tersumbat atau sempit. Ia sangat kecil berbentuk seakan-akan spring yang menguncup dan mengembang sebaik berada di dalam pembuluh darah.






Tan Sri Dr Robaayah Zambahari



PROFIL:

Nama: Tan Sri Dr Robaayah Zambahari
Jawatan: Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, IJN
Tempat kelahiran: Batu Gajah, Perak
Tarikh lahir: 2 Disember 1951
Bapa: Zambahari Kulop Udi - kerani di syarikat melombong bijih
Ibu: Sallehah Kayang - suri rumah
Adik-beradik: Anak kelima daripada tujuh beradik

Pendidikan:
Sekolah Kebangsaan Melayu (1958-1961)
St Bernadette Convent, Batu Gajah (1962-1963)
‘O’ Level di St Bernadette Convent (1969)
Tingkatan Enam di St Michael Institution, Ipoh (1970-1971) bagi mendapat Cambridge ‘A’ Level
Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (1972-1977)

Teks dan gambar Oleh: Kusyi Hirdan
+

Revolusi Menanam 'RAMBUT'

http://akubudakkola.blogspot.com





Teknik Follicular Unite Extraction (FUE) dikatakan meminimumkan kesakitan dan kesan luka atau parut.



FAKTA yang akan diterangkan di bawah mungkin bukan apa-apa pun bagi mereka yang tidak mempunyai masalah rambut gugur, tapi bagi yang sedang mengalaminya mungkin membantu memberikan sedikit kelegaan.

Menurut kajian, 40 peratus lelaki mengalami masalah keguguran rambut bermula seawal usia 35 tahun.

Manakala masalah yang sama turut menyerang wanita sekitar usia mereka 60 tahun.

Memang anda tidak keseorangan kerana ramai rakyat Malaysia yang berkongsi masalah tersebut.

Tapi sedarkah bahawa masalah rambut gugur kini menyerang lelaki dan wanita pada usia yang jauh lebih muda.

Puncanya, ialah perubahan iklim sekeliling, pemakanan, gaya hidup dan pelbagai lagi faktor yang melibatkan tekanan dan sebagainya.

Keguguran rambut yang sekali gus menjadikan seseorang itu berstatus 'botak' merupakan satu masalah yang amat berkait rapat dengan psikologi.

Bayangkan apabila kulit kepala tampak semakin jelas akibat rambut yang gugur dengan banyak, seseorang jadi semakin tidak keruan kerana risau dengan penampilan yang tidak menarik berbanding dulu. Sekali gus ini mengurangkan keyakinan diri.









   



 Namun terdapat pelbagai teknologi dihasilkan sebagai cadangan untuk mengatasi masalah tersebut?

Antara yang terkini, NeoAsia (M) Sdn. Bhd. memperkenalkan Omnigraft sebagai teknologi transplan pertama rambut menggunakan sistem automatik.

Ia juga merupakan yang pertama di Malaysia dan terdapat di klinik Dr. Alice Prethima yang terletak di Klang, Selangor dan Jalan Maarof, Bangsar, Kuala Lumpur.

Menggunakan teknik Follicular Unite Extraction (FUE), ia dikatakan menggunakan teknik yang meminimumkan kesakitan dan kesan luka atau parut.

Menurut Dr. Alice, prosedurnya juga tidak mendatangkan komplikasi dan memberikan kesan yang lebih semulajadi.

"Tekniknya mudah, biasanya bagi lelaki, keguguran rambut bermula dari bahagian hadapan kepala hinggalah ke tengah kepala. Manakala bahagian yang berambut lebat, biasanya terdapat di bahagian belakang kepala.

"Jadi akar dari bahagian berambut lebat akan diambil dan ditanam di bahagian yang mengalami keguguran rambut," jelasnya ketika sesi memperkenalkan teknik Omnigraft di Sunway, Selangor, baru-baru ini.

Pada sesi tersebut, Dr Alice turut mempertontonkan video prosedur penanaman rambut Omnigraft.

Prosedur yang dirakam secara terus dari bilik pembedahan memperlihatkan seorang lelaki berusia lingkungan 40 tahun yang mengalami masalah botak dari dahi hadapan hingga ke tengah kepala.

Pesakit yang terbabit melakukan prosedur tersebut dalam keadaan sedar dan ia hanya mengalami kesan pendarahan yang minimum.

Malah dalam tempoh dua minggu rerambut baru akan mula tumbuh dan hasilnya sungguh memberangsangkan.

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
+

Tahukah Anda Bagaimana Liquid Paper Tercipta..





Liquid Paper Correction Fluid, White



Pada tahun 1950-an, apabila mesin taip elektrik pertama kali diperkenalkan ke pasaran, Seorang majikan yang baik hati membeli mesin tersebut untuk setiausahanya iaitu Bette.



Teknologi canggih juga boleh menyusahkan kita



Namun begitu,timbul pula bebanan kerja apabila mesin tersebut menambahkan masalah kepada beliau.

Masalah berlaku apabila setiausaha tersebut membuat kesalahan dalam menaip sehingga bakul sampah penuh dengan surat yang salah ditaip.

Hanya satu huruf yang di salah taip, bakul sampahlah tempatnya.



Adakah ada jalan penyelesaiannya?



Bette memikirkan pelbagai cara untuk mengatasi masalah tetapi tidak ada penyelesaian datang.

Beliau memikir apakah reaksi bosnya nanti.

Bosnya sudah melaburkan banyak pada mesin taip yang baru dan akan rasa sangat kecewa jika dia tidak dapat bekerja lebih efisien.

Bahkan boleh kehilangan pekerjaannya.



Ketika beliau sedang bersedih, tiba-tiba idea terlintas dalam benaknya.



Dia teringat dalam latihan seni, ketika dia belajar melukis setiap kesalahan akan ditutup dengan cat khusus yang disebut Gesso.

Bette bergegas pulang dan mendapatkan satu tin cat putih dan menggunakan berus lukisan yang kecil dan menutup kesalahan tersebut.



Maka, terhasillah Liqiud paper pada tahun 1972.











+

Tahukah Anda Pati Ekstrak Minyak Wangi Sebenarnya Berbau Busuk

http://akubudakkola.blogspot.com


PATI ekstrak pertama minyak wangi sebenarnya berbau busuk. Mungkin ada yang tidak percaya dengan pernyataan itu. Namun, hakikatnya bau pati tersebut memang kurang enak hinggakan ia boleh menyebabkan sesiapapun pening atau muntah jika menghidunya.

Industri penghasilan minyak wangi sehingga kini masih dikuasai negara-negara pengeluar dan pengasas awal bauan pesona dunia. Sejak ratusan tahun lalu, Perancis, Itali, Mesir dan India antara negara yang terkenal dengan minyak wangi.

Dengan perkembangan teknologi, minyak wangi turut mengalami evolusi dan penguasaan penghasilan wangian jenama terkenal dunia kini telah dikuasai seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Jerman, Sepanyol, Jepun dan banyak negara lain di serata Eropah serta Asia.

Namun, ramuan haruman yang menjadi kesukaan dunia itu masih rahsia.

Selepas menjalani beberapa kali saringan dan proses campuran yang tepat, pati ekstrak yang kurang enak baunya itu menjadi lebih wangi dan sedap dihidup. Bahkan, ia mampu membuatkan si pemakai berasa lebih yakin diri dan mampu menjadi terapi kesihatan yang baik.

Pengarah Projek Couple Perfume Enterprise, Fawzee Yahya, 34, menjelaskan, minyak wangi sebenarnya berasal dari Mesir dan bukan dari negara Perancis.

“Di Mesir pada masa itu, minyak wangi digunakan untuk pelbagai keperluan ritual seperti kelahiran anak sehingga kepada majlis kematian.

“Bahan yang digunakan ialah dupa (kemenyan) dan kayu manis dibuat sebagai bahan asas yang diolah dengan cara digiling, diparut dan ditumbuk,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Jalan Raja Abdullah, Kuala Lumpur.

Proses pembuatan minyak wangi kemudiannya berkembang maju melalui proses secara teknologi terkini iaitu wap air yang melalui proses penyulingan.

Hasil penyulingan itu kemudian diolah menjadi pelbagai jenis campuran pati minyak wangi. Ia kemudiannya dicampurkan dengan alkohol pada jumlah yang sesuai.

Pengasas minyak wangi Inspire Parfum, Zuliano Umberto Ligartti menjelaskan, minyak wangi terbahagi kepada dua iaitu minyak wangi daripada bahan semula jadi dan sintetik.



SEBELUM dipasarkan minyak wangi perlu melalui beberapa proses adunan kimia.


Ketika ditemui di kios perniagaan beliau di pasar raya Alamanda, Putrajaya, beliau mendedahkan, minyak wangi semula jadi kebiasaan diperbuat daripada bahan-bahan berasaskan tumbuh-tumbuhan seperti bunga, herba atau buah-buahan dan haiwan manakala minyak wangi sintetik pula dibuat daripada bahan-bahan kimia.

Penyediaan minyak wangi pada asasnya melalui tiga cara iaitu penyulingan, diekstrak dan rendaman di dalam air.

Setiap minyak yang dihasilkan mengandungi bahan ramuannya tersendiri dan seterusnya akan diproses melalui penyulingan, penghasilan ekstrak dan rendaman.

Ketajaman bau

Selepas proses asas itu dilakukan, pati awal minyak wangi perlu menjalani beberapa lagi rutin adunan kimia bagi menimbulkan lagi ketajaman baunya sebelum dipasarkan kepada pengguna.

Zuliano atau lebih dikenali dengan nama Zulkifli Tajuddin, 52, memberitahu, sekitar 1,126 jenis minyak wangi yang dikenali di dunia sebenarnya mempunyai tiga piramid atau tahap adunan bau (notes) yang tersendiri sejurus ia disembur.

“Ia disebut bauan pertama atau asas, bauan kedua atau tengah dan bauan ketiga atau terakhir yang merupakan bau sebenar sesuatu minyak wangi. Perkara ini jarang diketahui oleh mereka yang menggemari minyak wangi.

“Kalau kita mahu memilih minyak wangi yang sesuai saya cadangkan anda bersabar dan mengambil masa untuk memilih sesuatu jenis minyak wangi yang ditinjau.

“Jangan percaya pada bau pertama ketika disembur ke tangan. Tunggu sehingga kira-kira setengah jam untuk mendapatkan bau notes ketiga terhasil. Selepas itu baru anda membuat keputusan,” katanya sambil mendemonstrasikan minyak wangi keluaran syarikatnya berjenama Inspire Parfum.

Ukuran gred

Penggunaan alkohol atau nama saintifiknya dikenali sebagai metanol yang digunakan dalam minyak wangi diharuskan oleh agama Islam. Malah perkara ini telah difatwakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Pengurus syarikat Al-Habib (M) Sdn. Bhd. yang menjalankan bisnes mengeksport, mengimport, memborong dan meruncit minyak wangi sejak lapan tahun lalu, Shahzad Abdullah, 42, berkata, pati minyak wangi terdapat dalam beberapa gred yang diukur melalui ketahanannya dan bukan melalui haruman.

Pati minyak wangi gred A, B, C, dan D mempunyai haruman yang sama.

“Pati minyak wangi gred A boleh bertahan lebih daripada 12 jam jika terkena pada kulit. Jika digunakan pada pakaian ia mampu bertahan selama dua atau tiga hari.                   










“Bagi minyak wangi gred B pula baunya boleh bertahan selama lapan jam jika disapu pada kulit dan pakaian ia mampu bertahan selama dua hari,” katanya yang mengusahakan penjualan minyak wangi tanpa alkohol sebaliknya dicampur dengan minyak putih.

Selain itu katanya, minyak wangi gred C boleh bertahan selama dua jam jika dipakai pada kulit dan empat jam pada pakaian.

Minyak wangi gred D pula hanya mampu bertahan selama setengah jam jika disapu pada kulit dan satu jam jika disembur pada pakaian.

Sementara itu, Fawzee yang mengusahakan perniagaan minyak wangi yang diinspirasikan daripada jenama terkenal antarabangsa sejak empat bulan lalu menjelaskan, minyak wangi secara umumnya dikelaskan kepada Eau de Cologne (EdC), Eau de Toilette (EdT), Eau de Parfum (EdP) atau Parfum de Toilette (PdT), Esprit de Parfum (EsdP) dan de Parfum.

“Secara umumnya, EdC mengandungi lapan peratus pati minyak wangi dan selebihnya adalah alkohol. EdT mengandungi 15 peratus pati minyak wangi diikuti dengan EdP atau PdT yang mengandungi 20 peratus pati.

“Untuk ESdP ia mengandungi 30 peratus pati minyak wangi dengan 70 peratus bahan lainnya adalah alkohol manakala bagi de Parfum ia mengandungi 40 peratus pati minyak wangi sahaja dan 60 peratus alkohol,” katanya.

Merubah persepsi

Seorang pelakon dan pelawak popular, Ebby Yus, 42, berkata, minyak wangi telah menjadi kegemarannya sejak di bangku sekolah. Sehingga kini, minyak wangi bagi Ebby Yus menjadi sesuatu yang wajib dipakai pada diri setiap masa.

“Dengan memakai minyak wangi saya percaya ia mampu memperbaiki persepsi negatif terhadap kita. Dalam erti kata lain, walaupun wajah kita kurang cantik atau tidak kacak tetapi apabila memakai minyak wangi yang sesuai ia mampu membuatkan orang yang berada berhampiran kita tertarik.

“Misalnya seseorang lelaki yang tidak kacak dan tiada teman wanita dan memakai minyak wangi kemungkinan boleh menarik wanita mendampinginya,” kata Ebby Yus tersenyum mencerita pengalaman dirinya.



MESIR antara negara yang terkenal dengan industri minyak wangi.


Sementara itu, pakar perunding psikologi dan psikiatri, Unit Perubatan Tingkah laku-Saraf Kedah Medical Centre, di Alor Star, Kedah Dr. Wan Mohd. Rushidi Wan Mahmud berkata, wangi-wangian mampu meredakan tekanan.

“Wangi-wangian yang dihasilkan daripada minyak wangi dan bahan beraroma mampu membuatkan seseorang terkesan dari segi psikologi dalam erti kata melegakan tekanan atau stres ringan.

“Namun, jika seseorang itu mengalami tekanan sehingga menyebabkan kemurungan ia tidak akan berkesan lagi dan perlukan rawatan perubatan segera dilakukan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Jelasnya, bau aroma minyak wangi tidak mampu menyembuhkan penyakit secara terus tapi ia membantu seseorang individu dan mereka di sekelilingnya berasa senang dan tenang seperti kita melihat lautan biru yang luas terbentang.

Oleh BASIR ABU BAKAR
+